Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak takrifan Kerajaan Perpaduan seperti yang dicanang sekarang.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berpendapat, sesebuah Kerajaan Perpaduan mestilah menggabungkan semua parti yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak semua parti politik menyertai kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 walaupun ia merupakan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, kerajaan sekarang adalah kerajaan campuran, bukan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali ketiga di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Bharu, di sini, semalam.

Menurut Ibrahim, bagi tidak mempersendakan minda rakyat dan secara akademik tidak wajar nama Kerajaan Perpaduan digunakan, melainkan paling tepat adalah kerajaan campuran.

Katanya, selepas kerajaan campuran diwujud hampir sebulan lalu, sudah kedengaran pelbagai desakan atas nama reformasi serta berdasarkan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ujar beliau, hakikatnya PH juga tidak mendapat sokongan mutlak majoriti daripada pengundi, sebaliknya kuasa yang diperolehi adalah atas dasar sokongan parti politik.

Namun, katanya, sudah mula kedengaran desakan untuk diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, sedangkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menetapkan ahli-ahli PBT adalah dilantik oleh kerajaan negeri.

Ibrahim berpendapat, kerajaan tidak perlu membazir wang, masa dan sumber tenaga kerja untuk mengadakan satu lagi pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan.

“Bahkan, terdapat juga suara lantang daripada parti yang memperjuangkan ‘Malaysia Malaysian’ yang mendesak semua pihak secara keras menolak Malaysia menjadi negara Islam sepenuhnya.

“Kenyataan ini amat biadab dan mencemuh maruah kaum majoriti rakyat Malaysia beragama Islam dan tidak menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan serta kedudukan YDPA serta Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

“Kononnya, tidak salah bagi mereka bersuara lantang menolak ke arah Malaysia menjadi kerajaan Islam sepenuhnya, tetapi pada masa sama lantang memperjuangkan dasar Malaysia Malaysian,” katanya.

Kata beliau, pada mereka perjuangan Malaysia Malaysian tidak salah dan atas nama sistem demokrasi, namun menentang terbentuknya kerajaan Islam sepenuhnya.

“Apakah perjuangan untuk membina sebuah negara Islam sepenuhnya bertentangan dengan semangat demokrasi yang berlandaskan kepada suara majoriti? Inilah sifat hipokrit dan ancaman terhadap umat Islam di Malaysia oleh golongan kaum minoriti.

“Kini slogan “kepelbagaian” menjadi naratif baharu politik Malaysia, apatah lagi apabila PH mengetuai kerajaan campuran. Maka timbullah dasar kesamarataan, dasar liberal dan bermacam naratif baharu yang dilaungkan.

“Apakah secara halus Malaysia menuju ke arah lain-lain agama setaraf dengan Islam sebagai Agama Persekutuan? Percambahan lain-lain bahasa tidak memperlihatkan keperkasaan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Hak Keistimewaan Orang-orang Melayu dan Bumiputera hilang begitu sahaja walaupun dijamin dalam Perlembagaan Negara di bawah Fasal 151,152 & 153,” kata beliau.

Menurut Ibrahim lagi, Putra tidak mahu menjadi parti politik yang popular sehingga sanggup menggadai prinsip Melayu Islam dengan menutup mata kepada kemungkaran dan kehidupan ciptaan barat seperti fahaman liberalisme dan pluralisme, yang perlu dicegah daripada meracuni generasi muda.

Terkini, ujarnya, fahaman liberalisme dan pluralisme disalut pula dengan lapisan manis dan dinamis dalam satu konotasi baru yang disebut kepelbagaian.

Sedangkan, gagasan pemikiran ini adalah jarum halus yang sengaja diterap untuk meracuni pemikiran generasi baharu agar terima pegangan liberalisme dan pluralisme ini.

“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia terutama Melayu, muslim dan Bumiputera supaya berhati-hati dan tidak menerima bulat-bulat konsep kepelbagaian itu.

“Ianya bermula dengan fahaman liberalisme dari unsur kebebasan humanistik yang melampau, maka tercetuslah ‘budaya kuning’ yang sudah menyerap ke dalam masyarakat kita.

“Pengamal budaya baharu ini bukan sekadar aktif di kalangan mereka secara eksklusif, tetapi giat mempengaruhi pemain politik untuk menerima gaya hidup mereka sebagai sah di sisi perundangan,” katanya.

Ini katanya, yang sedang berlaku di barat dan Putra menyanggah sebarang daya usaha dalam apa sahaja bentuk atau alasan sekalipun untuk menghalalkan gaya hidup bebas kepelbagaian seksualiti dan gender.

“Budaya ini, yang juga sering disebut sebagai LGBT adalah jelas bertentangan dengan hukum Islam, tatasusila dan adab dalam masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun, Putra menghargai hak dan kebebasan individu dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun, Putra ingin tegaskan setiap tindakan, pergerakan atau perbuatan, hatta bersuara adalah tertakluk kepada lunas undang-undang negara dan hukum-hakam yang ditetapkan dalam al-Quran, Hadith sahih serta hendaklah mematuhi nilai-nilai murni budaya tempatan selaras Agama Islam sebagai Agama Persekutuan Negara.

“Justeru, Putra mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang membuat kenyataan terbuka bagi tujuan menghalang Malaysia menjadi negara Islam sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette