Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2018

Mengapa seorang bekas pegawai bank sanggup menggunakan wang sendiri sebanyak RM50,000 bagi menyelaraskan akaun milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014?

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, yang mengendali akaun milik Najib pada ketika itu, tidak pernah bersemuka dengan Najib sepanjang tempoh perkhidmatannya di bank berkenaan namun mengapa wanita itu bertindak demikian? Arahan siapa?

Adakah Joanna menerima arahan daripada Najib? Jawapannya tidak.

Menurut keterangan Joanna di Mahkamah Tinggi, dia terpaksa menggunakan wang sendiri berikutan akaun Najib yang berakhir dengan nombor 906 mempunyai pengeluaran berlebihan kerana terdapat cek berjumlah RM80,000 yang dikeluarkan tanpa baki mencukupi tahun 2014.

Wanita itu berkata, perkara itu dilakukan bagi mengelakkan cek berjumlah RM80,000 terbabit ditendang.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

Dia berbuat demikian selepas beliau gagal mendapatkan wang daripada setiausaha kepada ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Josie dan sekutunya, Kee Kok Thiam.

Jho Low mengarahkannya menghubungi Josie, namun dia (Josie) memaklumkan wang itu hanya boleh dimasukkan keesokan hari dan ia menyebabkan Joanna menggunakan wangnya.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Jho Low bertegas supaya penyata kad kredit Najib tidak dihantar ke alamat rumah bekas Perdana menteri itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur

Malah Jho Low memberitahu dia akan mengambilkannya sendiri.

Menurut e-mel pada 2011 antara Joanna dengan Jho Low mendapati ahli perniagaan itu memberi maklum balas kepada e-emel Joanna dengan mengatakan “Tidak, tidak, tidak… jangan hantar penyata itu ke kediaman Najib.. amat sensitif. Kami akan mengambilnya”.

Mengapakah tiada tindakan undang-undang diambil terhadap Joanna kerana ‘bersubahat” dengan Jho Low?

Kenapa, pihak berkuasa tidak berjaya menahan Jho Low sehingga kini dan  Joanna yang bertindak atas arahan Jho Low tidak pernah dituduh di mahkamah?

Wujudnya persoalan apakah hubungan Jho Low dengan Joanna. Baru-baru in, Joanna mengesahkan beliau kenal Jho Low sejak 2007 melalui urusan pinjaman bank.

Apa yang menarik dalam kes SRC ini adalah, hanya bekas Ahli Parlimen Pekan, Najib sahaja dituduh di mahkamah dan tiada tindakan undang-undang dikenakan ke atas pihak atasan SRC.

Sepanjang memegang jawatan sebagai Pengurus Perhubungan Ambank yang mengendalikan akaun Najib, Joanna tidak pernah berhubung  dengan Najib mengenai akaun bekas perdana menteri itu.

Joanna dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa ada kala beliau terpaksa meminta bantuan Jho Low apabila terdapat isu akaun bank milik Najib.

Ini kerana bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga merupakan pemegang amanah akaun Najib, yang kini melarikan diri jarang menjawab panggilan telefon mahupun pesanan daripadanya.

Pada Disember 2019, Najib memfailkan saman terhadap Joanna kerana didakwa cuai dalam pengendalian akaun-akaunnya dengan mendedahkan transaksi akaun kepada Jho Low.

Namun, pada September 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris membatalkan saman itu atas alasan penyalahgunaan proses mahkamah sambil memutuskan dakwaan Najib bahawa beliau hanya tahu tentang Joanna memanipulasi akaun banknya semasa perbicaraan tidak boleh diterima.

Najib telah membuat permohonan bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, prosiding bakal didengar pada 19, 20 dan 26 Januari bulan depan. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sepatutnya yang di sumbat ke penjara kajang tu Tun M dan kuncunya kerana merancang mengenakan najib. Kenapa tsk siadat dan dakwa dia.

Comments are closed.