Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional membuat laporan polis terhadap Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ditandatangani oleh lima parti politik semalam.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, perjanjian tersebut adalah tidak sah kerana menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen di negara ini.

Katanya, Klausa 4(a) dan 4(b) perjanjian tersebut menyekat dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen yang merupakan ciri asas kerajaan Malaysia berpaksikan Raja Berperlembagaan.

Menurut Ahmad Fadhli, perjanjian itu bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Ia juga bertentangan dengan Perkara 43(a) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan perdana menteri untuk mendapatkan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat bukan dengan cara perjanjian persefahaman yang menyekat kebebasan ahli Dewan Rakyat.

Perjanjian itu juga katanya, melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesan terhadap kerusi Parlimen akibat pertukaran parti politik dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tatacara Parlimen dan pengundi.

Ia turut melanggar Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3 Houses of Parliament (Privileges and Powers) Act 1952 yang menjamin kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk bersuara dan membahas dalam prosiding Parlimen.

“Selanjutnya, Pemuda PN sesungguhnya percaya bahawa perjanjian persefahaman tersebut adalah haram dan tidak sah di sisi undang undang menurut Seksyen 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 kerana objektifnya merosakkan demokrasi berparlimen, bercanggah dengan polisi awam dan adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang dan berunsur salah,” katanya.

Klausa 4(a) Perjanjian Persefahaman yang ditandatangai oleh lima parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia semalam memerlukan setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong perdana menteri dalam usul-usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Setiap parti dan pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti-parti mereka bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Klausa 4(b) memerlukan parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan untuk memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut Klausa 4(a).

Menurut klausa itu kegagalan, keengganan atau kecuaianĀ  berbuat demikian dikira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti dan dianggap sebagai perletakkan jawatan dan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen.

Kerusi ahli Parlimen itu perlu dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Parti Ahli Parlimen terbabit dikehendaki mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihan raya kecil. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. La.. masa kau dulu bole pulak mou bagai.. org lain nk bermou kau cakap haram dan tak sah segi undang2. Lebai sungguh hang ni

  2. apa hal ni orang muda pn . dulu pm kau istihar darurat lagi . tak de pula kau bising . orang buat perja.jian untok kesetabilan negara kenapa kau pula rasa cemas dan haram . cukup2 lah hasad dengki tu . belajar lah islam pas bagaimana nak buang sifat dengki . tanya ulamak kamu orang dengki dimana tempat nya . syurga ke neraka .

Comments are closed.