Oleh HAFIZ HASSAN
MENURUT Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Kata Muhyiddin Yassin lagi, undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat (ADR) untuk mengundi di Dewan Rakyat. https://malaysiagazette.com/2022/12/17/mou-gabungan-kerajaan-perpaduan-tidak-berperlembagaan-kata-muhyiddin/
Perjanjian Persefahaman tersebut barangkali sesuatu yang baru di Malaysia tetapi agak biasa di beberapa negara seperti Denmark dan Sweden dan pernah ditandatangani antara parti-parti atau gabungan parti-parti politik di Britain, Canada dan New Zealand yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.
Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH tidak semestinya tidak berperlembagaan dan tidak sah hanya kerana satu atau dua klausa dalam perjanjian tersebut bercanggah dengan Perlembagaan atau undang-undang bertulis.
Klausa yang ‘haram’ boleh tidak berkuatkuasa, tetapi perjanjian masih sah.
Perjanjian tersebut juga bukan menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti ADR tetapi sesuatu yang perlu dilakukan demi kestabilan kerajaan.
Walaupun dikritik, sekurang-kurangnya Perdana Menteri berani untuk berdepan dengan undi percaya di Dewan Rakyat.
— Artikel ini kiriman pembaca MalaysiaGazette, Hafiz Hassan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan portal ini. Anda mempunyai pendapat, rencana atau analisis emel kepada [email protected]