Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pesara guru berputih mata apabila kerugian sebanyak RM92,000 akibat diperdaya sindiket ‘Macau Scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Tabung Haji (TH) pada bulan Julai lalu.

“Mangsa didakwa telah menerima wang dana Tabung Haji sebanyak RM12,988 dan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, setelah diberitahu suspek tentang perkara itu, mangsa memberi maklumat akaun miliknya dan turut membuka akaun bank bagi tujuan Dana Ikat Jamin kerana terlalu takut.

“Bagaimanapun, pada awal bulan ini apabila mangsa membuat semakan akaun bank miliknya, dia mendapati pengeluaran wang ke akaun pihak ketiga dibuat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM 92,000.00 Wang Pencen pengadu,” jelas Ramli.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari nombor atau pihak yang tidak dikenali, selain tidak takut atau cemas jika dimaklumkan bahawa telah terlibat dengan jenayah.

“Jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau kewangan kepada mana-mana individu.

“Harus dingat bahawa pihak penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon,” ujarnya.

Orang ramai juga diingatkan supaya menyemak dengan pihak berkaitan sebelum meneruskan urusan atau transaksi bayaran bagi mengelakkan ditipu pihak tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette