KUALA LUMPUR – Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau mahu menyediakan laluan atau membuat rancangan supaya anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi perdana menteri.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, jika beliau mahu berbuat demikian sudah tentu dia akan memastikan Mukhirz memegang pelbagai jawatan ketika beliau berkuasa.
Bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu berkata, dia boleh melantik Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri sekirannya mahu berbuat demikian.
“Tak benar sama sekali. Kalau saya nak anak saya ambil alih tempat saya. Masa jadi perdana menteri saya boleh angkat anak saya pegang jawatan itu dan ini. Bahkan boleh jadi menteri pun.
“Kalau saya hendak dia ganti saya. Saya angkat dia jadi timbalan perdana menteri. Bila saya letak jawatan dia boleh ambil alih.
“Tetapi anak saya tidak dibenarkan masuk politik pun. Tak ada satu pun anak saya yang masuk politik. Yang menentang saya ada, anak saya juga. Tapi nak kata saya bantu anak saya supaya dia dapat tempat, saya tidak buat,” tegas Mahathir.
Beliau berkata demikian dalam temuramah khas bersama MalaysiaGazette bagi program Owh!MG baru-baru ini.
Mahathir yang memegang kuasa lebih 24 tahun ketika menjadi perdana menteri keempat dan ketujuh berkata, beliau sebenarnya telah menganiaya anaknya sendiri.
Hanya kerana mahu menjaga kredibiliti beliau telah bertindak untuk tidak memberi sebarang tempat kepada anak-anaknya.
Bagaimanapun katanya, dia tetap dituduh menyediakan laluan kepada Mukhirz untuk menjadi perdana menteri.
“Kononnya sekarang ini dia sudah terlibat dengan politik. Itu sebab saya bukan lagi perdana menteri. Dia terlibat dengan politik dengan usaha sendiri bukan saya tolong.
“Saya tidak tolong anak sebab tidak mahu orang kata saya guna jawatan untuk majukan keluarga saya. Saya tidak buat. Kalau tidak percaya tengok anak saya berniaga di luar negeri tidak boleh dengan kerajaan. Saya tidak benarkan.
“Tapi masih orang tuduh saya hendak angkat anak sendiri.
Sebenarnya saya menganiaya anak kerana hendak jaga kredibiliti hingga tidak beri tempat kepada mereka tapi masih dituduh,” kata Mahathir kesal.
Sementara itu Mahathir berkata, dia menyerahkan legasinya dalam parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada Mukhirz kerana dia sudah cukup tua untuk memimpin parti itu.
Tindakan itu menurut Mahathir bukan kerana ingin menolong Mukhirz tetapi sebaliknya untuk membantu parti tersebut.
“Ya, saya tahu umur sudah 97 tahun. Takkan saya hendak hidup lama. Cuma saya nak tolong. Bukan nak tolong dia tapi parti.
“Pasal saya tidak boleh tolong satu orang. Tapi kita dapati walaupun saya mungkin buat kesalahan sehingga kalah 100 peratus,” kata Mahathir.
Untuk rekod Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang semalam. – MalaysiaGazette