KABUL – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 37 orang dilaporkan cedera dalam kemalangan di Terowong Salang, yang menghubungkan ibu kota Afghanistan, Kabul ke utara.
Kejadian itu berlaku pada hari Sabtu selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan api terbakar, kata jurucakap Kementerian Kerja Raya, Molvi Hamiddullah Misbah.
“Apabila kami masuk ke dalam terowong pada waktu pagi, kami melihat mayat yang tidak dapat dikenali kerana ia melecur teruk.
“Mangsa-mangsa terdiri daripada wanita, lelaki dan kanak-kanak,” kata Ajab Gul, seorang saksi kepada agensi berita Afghan Tolo.
Terowong yang menjadi mercu tanda Afghanistan itu terletak kira-kira 90 kilometer (56 batu) di utara Kabul dan merupakan penghubung utama antara utara dan selatan negara ini.
Terowong sepanjang 2.6 km (1.6 batu) yang dibina oleh Soviet merupakan kejayaan kejuruteraan yang menghubungkan Kabul dan utara Afghanistan, selain menghubungkan benua kecil India ke Asia Tengah melalui laluan Salang yang berbahaya.
Ia juga salah satu lebuh raya gunung tertinggi di dunia pada kira-kira 3,650 meter (12,000 kaki).
Laluan terowong ini sering ditutup selama beberapa hari jika berlaku kemalangan, salji lebat dan runtuhan salji semasa musim sejuk.
Pada 2010, runtuhan salji mengorbankan lebih 150 orang di laluan ini. – Agensi