PN pembangkang
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yaasin hadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka akan memikul tugas semak dan imbang bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti serta bebas daripada unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Ini adalah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh PN.

“Pada masa yang sama juga PN akan terus komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin dan demokrasi terus subur di negara ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, beliau dan 73 Ahli Parlimen yang lain dari PN mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Johari Abdul kerana dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

“Terima kasih dan penghargaan juga kepada bekas Timbalan Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau,” katanya. – MalaysiaGazette