Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Hafisham Mohd Noor bercakap pada sidang media mengenai keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan pasukan sweeper untuk mengesan sembilan mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini, yang dikhuatiri telah dihanyutkan arus sungai.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pasukan tersebut adalah satu daripada usaha berterusan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masuk hari keempat pada hari ini.

“Pasukan sweeper khas ini terdiri daripada tiga anggota termasuk seorang pegawai itu digerakkan di luar kawasan ground zero untuk melihat kemungkinan lain yang berlaku terhadap mangsa.

“Antara lokasi pencarian adalah di kawasan luar selain ground zero serta kawasan Sungai Kedondong untuk melihat kemungkinan mangsa dihanyutkan atau tersangkut pada pokok ketika kejadian berlaku.

“Setakat ini pasukan sweeper tidak menemui sebarang petanda positif berhubung keberadaan sembilan mangsa yang masih berstatus hilang itu,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan pasukan sweeper melakukan pencarian bermula di kawasan tebingan sungai (sektor C) sepanjang tujuh kilometer sehingga ke Sungai Kedondong.

Menurut Hafisham, pasukan tersebut telah digerakkan bermula jam 7 pagi tadi.

Sementara itu, Hafisham berkata, operasi SAR pada hari ini tidak menemui petunjuk baharu berhubung lokasi keberadaan sembilan mangsa itu.

Katanya, pencarian telah meliputi keseluruhan kawasan bencana dengan menggunakan khidmat sembilan anjing Unit Pengesan (K9) dan 11 jengkaut daripada pelbagai agensi.

“Malah usaha menggali tanah sudah pun dilakukan sehingga ke tanah asal tapak perkhemahan tersebut namun tiada sebarang petanda baharu ditemui setakat ini.

“Kita tetap akan mempertingkatkan lagi usaha pencarian dari semasa ke semasa namun bergantung kepada keadaan cuaca dan jika malam ini cuaca buruk membawa hujan lebat kita akan menangguhkan operasi SAR kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette