Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat sekali lagi menuntut supaya gaji tahunan bagi penjawat awam peringkat rendah dinaikkan dari RM80 kepada RM180 setahun.

Menurut beliau, kenaikan RM80 setahun adalah tidak munasabah, justeru dinaikkan kepada RM180 setahun kepada gred yang paling rendah.

Cadangan ini diusulkan dalam Konvensyen Tritahunan CUEPACS kali ke-29 hari ini.

Kali terakhir kenaikan gaji tahun disemak adalah pada tahun 2012 lalu.

Artikel berkaitan: CUEPACS mahu cadangan gaji minimum RM1,800 dilihat semula

Adnan berkata, oleh itu Kerajaan Perpaduan diminta untuk merealisasikan tuntutan yang pernah dibuat oleh CUEPACS sebelum ini.

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kami meletakan harapan tinggi supaya kerajaan mampu melaksanakan perkara yang telah kami tuntut,” tegas Adnan lagi.

CUEPACS pada Sabtu lalu menuntut kerajaan agar menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.

Tambahnya, cadangan tersebut pernah dikemukakan oleh CUEPACS tiga tahun lalu namun terhenti disebabkan pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan sebanyak tidak kali. – MalaysiaGazette