Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menjadi salah seorang ahli Parlimen yang akan membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengesahkan penyertaannya dalam perbahasan melalui satu hantaran di media sosial.

Turut mengesahkan akan menyertai perbahasan usul undi percaya terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang membuat ciapan di Twitter.

Pembentangan usul undi percaya itu adalah bagi membuktikan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu sebagai Perdana Menteri ke-10.

Perbahasan usul berkenaan dijaduan bermula pada pukul 2.30 petang.

Usul tersebut bakal membuktikan Anwar mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu.

Ini selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun berdasarkan jumlah undi yang diperoleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu Datuk Seri Johari Abdul pagi tadi Anwar dijangka tidak berhadapan kesukaran untuk memperoleh jumlah undi untuk terus memimpin Kerajaan.

Johari Abdul mengangkat sumpah selepas terpilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

Malah Ahli Parlimen Tambun itu dijangka memperoleh undi majoriti dua pertiga iaitu sebanyak 148 sokongan berdasarkan undi yang diperoleh Johari.

Dalam undian yang dilakukan hari ini Johari memperoleh 147 undi iaitu kurang satu undi untuk majoriti dua pertiga.

Ahli Parlimen Mukah, Datuk Seri Hanifah Hajar Taib dari Gabungan parti Sarawak yang menjadi sekutu dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia tidak berbuat demikian kerana tiba lewat di Dewan Rakyat.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.- MalaysiaGazette