Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut kepada RM258.6 juta, lebih rendah daripada minggu sebelumnya iaitu RM731.8 juta.

MIDF Research berkata, setiap hari dagangan minggu lepas ialah hari jualan bersih oleh pelabur asing, kecuali hari Rabu.

Jualan bersih paling ketara pada hari Khamis sebanyak RM179.0 juta, paling rendah pada hari Isnin, Selasa dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM52.2 juta, RM36.2 juta dan RM12.6 juta.

Sebaliknya, hari Rabu merupakan satu-satunya hari belian bersih oleh pelabur asing sebanyak RM21.4 juta.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih iaitu telekomunikasi dan media pada RM38.5 juta, pembinaan RM35.2 juta dan produk pengguna serta perkhidmatan pada RM32.0 juta.

Sementara itu, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM125.7 juta), perladangan (RM108.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM78.6 juta).

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan pula meneruskan belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut berikutan iklim politik dalam negeri yang lebih stabil, mendorong sentimen positif pelabur.

Mereka membeli RM223.14 juta minggu lepas, lebih rendah daripada jumlah RM680.4 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Setiap hari dagangan minggu lepas merupakan hari belian bersih untuk kelas pelabur ini, dengan belian bersih paling banyak pada Khamis pada RM134.81 juta.

Sementara itu, pelabur runcit terus menjadi pembeli bersih minggu lepas sebanyak RM35.6 juta, lebih rendah sedikit daripada belian bersih RM51.4 juta pada minggu sebelumnya.

Mereka adalah pembeli bersih pada hari Isnin, Selasa dan Khamis dengan belian bersih paling berat pada hari Khamis pada RM44.2 juta, sebelum beralih kepada penjual bersih pada hari Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM29.7 juta dan RM9.1 juta.

Pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 50 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM4.54 bilion manakala pelabur institusi pula penjual bersih untuk 32 daripada 50 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM6.66 bilion.

Pelabur runcit juga menjadi pembeli bersih selama 32 daripada 50 minggu dengan jumlah RM2.13 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi, runcit dan asing, masing-masing sebanyak -12.55%, -12.29% dan -9.02%. – MalaysiaGazette