Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di dalam Dewan Rakyat mendapat perhatian warganet.

Kedudukan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk di sebelah Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambuan menjadi bualan di Twitter.

Ada yang melahirkan perasaan tidak sangka bahawa kedua-dua pemimpin yang sebelum ini dari parti yang bertentangan dan saling bermusuhan kini menjadi ‘jiran rapat’

Pun begitu ada juga yang gembira melihat Presiden PKR dan Presiden UMNO itu kelihatan berbual mesra dari kerusi masing-masing.

“Siapa sangka Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi duduk bersebelahan di pihak kerajaan,” ciap Norman Goh.

“24 tahun untuk tengok mereka duduk berdekatan begini dalam Parlimen,” kata Mohd Sayuti Omar.

Persidangan Dewan Rakyat Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk dalam kalangan ahli Parlimen.

Ini beriikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan kerjasama ahli parlimen yang bermusuhan sebelum ini.

Blok kerajaan menyaksikan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) buat pertama kali berada sebaris dalam satu blok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) dan Anthony Loke (PH-Seremban) yang juga Menteri Pengangkutan duduk satu barisan bersama Anwar dan Ahmad Zahid.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Sabri (BN-Bera) diapit Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula duduk di sebelah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Manakala di blok pembangkang ahli-ahli Parlimen Pas dan Bersatu yang membentuk kerjasama di bawah Perikatan Nasional duduk bersama.

Kerusi Ketua Pembangkang diisi Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Turut berada di blok pembangkang adalah bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).-MalaysiaGazette