Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini telah menetapkan 22 dan 23 Jun 2023 bagi pendengaran rayuan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion yang sedang di hadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak sedang berdepan dengan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan serta denda RM970 juta berhubung projek solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hari ini Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, pendengaran rayuan itu akan didengar tahun depan Jun setelah dimuktamadkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nokamilah Aziz ketika pengurusan kes hari ini.

Kata Yih Tin, hujahan perlu difailkan sebelum atau pada 22 Mei 2023 dan hujahan balas jika ada perlu difailkan sebelum 7 Jun 2023.

“Manakala rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan menarik diri akan juga didengar pada tarikh sama,” katanya.

Sebelum ini, Rosmah telah mengemukakan 127 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan ke atasnya.

Rosmah melalui petisyen rayuannya menegaskan bahawa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini, pada 1 September lalu, adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul serta tidak berturutan dengan prinsip-prinsip undang-undang.

Jelasnya, adalah mustahil bagi Mohamed Zaini untuk merumuskan bahawa pembelaan peguam belanya adalah penafian kosong, sedangkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas.

Dakwa Rosmah lagi, butler yang kononnya mengangkat dua beg galas berbelang oren itu tidak dipanggil memberikan keterangan di mahkamah, yang seterusnya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast