Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan surcaj untuk pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri dianggarkan akan menjejaskan 100,000 perusahaan.

Susulan daripadanya, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai meminta tempoh penampan selama tiga bulan supaya perusahaan yang terjejas boleh menyesuaikan diri.

Beliau berkata, pengenalan surcaj itu dianggap sebagai perkara serius untuk FMM kerana caj tambahan dan kenaikan tarif elektrik  melambangkan peningkatan harga kira-kira 44.5 peratus.

Katanya, kenaikan tarif melonjakkan tarif elektrik kepada 32.94 sen dan jika ditambah dengan surcaj 20 sen, jumlahnya adakah 52.94 sen untuk enam bulan akan datang berbanding 36.64 sen masa ini.

“Jika peniaga yang menggunakan banyak elektrik tidak mendapat subsidi, maka mereka akan berdepan impak yang besar selain memperlahankan rentak pemulihan.

“Tambahan pula, kami perlu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global kerana Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain sedang menuju ke arah kegawatan sementara rentak ekonomi di China juga perlahan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj berkuat kuasa 1 Jan hingga 30 Jun, 2023.

Menurut Thian Lai, walaupun perusahaan besar telah mencatatkan keuntungan, tetapi keadaan itu tidak bermakna kerajaan boleh menaikkan tarif pada kadar 44.5 peratus.

Katanya, keadaan itu adalah tidak adil untuk perusahaan yang menyumbang kepada hasil negara melalui pembayaran cukai.

“Perusahaan manakah yang mampu menyerap kos begitu tinggi? Kos ini akan menjejaskan kos keseluruhan dalam pengeluaran, menyebabkan mereka sukar bersaing dengan syarikat luar yang lain.

“Kerajaan harus mengambil kira keadaan bahawa kami sedang berdepan persaingan dari Vietnam, Indonesia dan negara lain,”  katanya.

Thian Lai berkata, kerugian yang dialami syarikat besar juga bermakna pengurangan cukai untuk kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan harus menyelesaikan masalah secara berperingkat dan bukannya menyelaraskan tarif untuk pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi secara serta-merta,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast