Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan menjaga kelakuan ketika berada di dalam Dewan Rakyat.

Anwar ketika membentangkan peruntukan khas bagi perbelanjaan perkhidmatan di Parlimen hari ini berkata, beliau telah meminta Ketua Whip untuk memaklumkan kepada semua ahli Parlimen kerajaan supaya menjaga susila.

“Kita tahu sidang Parlimen ini ditonton. Kita boleh berbeza pendapat bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan dewan ini dan tidak keterlaluan.

“Kerana ini akan diketawakan oleh rakyat dan melihat seluruh dewan ini jadi gelanggang, seperti disebut di media sosial (seolah-olah) sarkas,” kata Anwar.

Anwar berkata, beliau akan memberi sokongan terhadap apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh Datuk Johari Abdul selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat terhadap ahli Parlimen yang berkelakuan tidak sopan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau menyedari tugas sukar yang dipikul Johari bagi mengawal persidangan Dewan Rakyat.

“Ini saya serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua, tetapi saya beri jaminan kita akan beri sokongan penuh kalaupun tindakan itu dikenakan ke atas ahli-ahli berhormat daripada Kerajaan Perpaduan,” kata beliau.

Anwar turut meminta supaya parti pembangkang turut berbuat demikian.

Hari pertama mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen Kelima Belas semalam menyaksikan beberapa ahli parlimen membuat kecoh ketika usul percaya terhadap perdana menteri dibahaskan.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzah dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahudin Hashim antara yang mencuri tumpuan apabila masing-masing bertekak mengenai tuduhan ‘beruk’.

Awang Solahudin pagi ini meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar Mohd. Sany memohon maaf kerana menggunakan perkataan beruk.

“Saya telah menyebut ‘kami tidak mahu jadi kera’ tapi terus disambut oleh Hulu Langat ‘Pendang beruk’.

“Jadi saya minta perkataan ini kena ada tindakan oleh Parlimen,” kata Awang Solahuddin.

Johari kemudian memberi jaminan bahawa beliau akan menyiasat tuduhan itu.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Diharap tiada lagi rakyat yg membuat lukisan persidangan berok, monyet, mawas, kongkang atau sebagainya dalam mengambarkan persidangan sepertimana yang pernah berlaku dimasa lalu.

Comments are closed.