KUALA LUMPUR – Keselamatan ekosistem siber negara merupakan tanggungjawab bersama dan bukan terletak semata-mata kepada Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi siber berkaitan.
Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, semua pihak tidak mempunyai pilihan, selain meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang domain siber yang sentiasa terdedah dengan ancaman dan risiko keselamatan.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Mohd Asghar Kghan Goriman Khan berkata, pihaknya akan lebih berwaspada dan sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam apa jua perkara yang melibatkan penggunaan elemen-elemen siber.
Katanya, langkah itu akan membolehkan pihak kerajaan amnya merancang pelan-pelan tertentu serta bergerak kehadapan dalam memastikan keselamatan ekosistem siber negara bukan sahaja relevan, malah mampu meramal serta memberi respons terhadap sebarang ancaman yang mendatang.
“Seperkara lain yang perlu ditekankan disini adalah pentingnya untuk semua agensi berkaitan siber bersatu dan berganding melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS ) dalam memastikan kemampanan keselamatan ekosistem siber negara ini.
“Melalui pendekatan WoGoS ini juga, mampu mengelakkan ancaman Peperangan atau serangan yang dibuat secara hibrid terhadap nilai-nilai teras keselamatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.
“Ancaman siber ini sentiasa berevolusi dan kegagalan memastikan tahap kesedaran yang tinggi boleh merencatkan segala usaha yang sedang dilaksanakan dalam menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam ucapan merasmikan Forum Program Siber Siaga Tahun 2022 peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia mewakili Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang di sini hari ini.
Tambah beliau, Angkatan Tentera Malaysia melalui Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan amat komited dan bercadang mengadakan program ini secara penggiliran di antara Polis Diraja Malaysia, agensi kerajaan seperti MAMPU dan lain-lain yang sudi untuk turut serta.
Sesungguhnya, kata beliau, konsep penganjuran secara bersama merupakan kaedah terbaik dalam memperkasakan kawal-selia ekosistem keselamatan siber negara kerana ia melibatkan kerjasama erat serta saling kebergantungan pelbagai pihak yang terlibat.
Menurut Mohd Asghar, dengan cara ini, ekosistem keselamatan siber negara akan dapat dimanfaatkan ke tahap yang optimum disamping sentiasa kukuh terpelihara daripada sebarang ancaman yang boleh menggangu-gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara.
“Dengan bertemakan Cyber Security, Geopolitic and Cyber Diplomacy, program ini diadakan bagi memacu kesedaran semua pihak termasuklah pihak pengurusan dan professional, tentang pentingnya memelihara keselamatan ekosistem siber negara, di kala ketidaktentuan landskap keselamatan serantau dan global era ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette