munafik politik tindak balas Paludan Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR — Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, peletakan jawatan itu dibuat selepas peletakan jawatan bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima parti tersebut pada 15 Disember lalu.

Justeru kata Khairuddin, beliau juga telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti berkenaan.

“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Apabila perletakan jawatan beliau diterima oleh Biro Politik parti Pejuang dan dimaklumkan pada mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) Pusat pada 15 Disember lalu, maka kini perkhidmatan saya dalam parti Pejuang sudah tidak relevan lagi.

“Dalam masa yang sama saya juga telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Parti Pejuang,” katanya dalam satu kenyataan bertarikh semalam.

Pada masa sama Khairuddin juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MEP Pusat berkuatkuasa serta-merta, dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak selepas mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada 9 malam, 19 Disember lalu. – MalaysiaGazette