Para penjawat awam yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Selain itu, 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah akan diberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata, satu juta pesara kerajaan pula akan diberikan bantuan tunai sebanyak RM350.

“Kerajaan Perpaduan ini amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” kata Anwar ketika membuat pengumuman di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2002.

RUU itu membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,678,650 dikeluarkan bagi perkhidmatan kerajaan untuk sebahagian tahun 2023.

Sementara itu, kerajaan akan menyediakan tawaran 50,000 peluang kerjaya secara kontrak pada 2023.

Anwar berkata, daripada jumlah itu 35,000 peluang pekerjaan disediakan oleh syarikat berkaitan kerajaan melalui program MySTEP.

Katanya, penyediaan peluang pekerjaan itu didorong oleh pelaksanaan program yang mengiktiraf gaji antara RM1,500 hingga RM2,100.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.