Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Wira yang terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Fariz Ammar Abdullah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan kereta itu dengan motosikal Honda Wave yang ditunggang seorang penghantar makanan pada kira-kira 8 malam.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal tersebut yang sedang berhenti di persimpangan jalan.

“Sejurus selepas kejadian, lelaki itu telah melarikan diri dan memandu secara berbahaya dengan melawan arus.

“Akibat kejadian tersebut, penghantar makanan itu cedera ringan di belakang badannya dan sehingga kini, pemandu kereta terbabit masih belum tampil membuat laporan polis, ” katanya.

Fariz Ammar berkata, hasil siasatan mendapati kereta itu merupakan kenderaan curi yang telah dilaporkan hilang di kawasan Pelangi Indah di sini, Ahad lepas.

“Hasil maklumat orang awam, kita berjaya menjumpai kereta berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan Persiaran Scientex Utama, Senai, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Insiden itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 45 saat yang memaparkan sebuah kereta memasuki laluan bertentangan lalu melanggar penghantar makanan yang sedang berhenti di persimpangan jalan. – Bernama