Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukan kira-kira RM1 juta untuk membantu dua negeri di Pantai Timur yang dilanda banjir sejak kelmarin.

Dengan bantuan itu, Kelantan dan Terengganu masing-masing menerima RM500,000 yang akan digunakan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Banjir di dua negeri itu sejak Ahad lalu menyaksikan lebih 37,000 mangsa di Terengganu dan lebih 25,000 orang di Kelantan dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sumbangan itu sebagai tanda simpati kerajaan negeri itu kepada puluhan ribu mangsa yang terkesan akibat banjir.

Kata beliau, selain bantuan kewangan, kerajaan negeri juga bersedia menghantar Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE) sebagai bantuan kemanusiaan pasca banjir.

“Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat di Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir.

“Kerajaan negeri bersetuju menghulurkan bantuan kira-kira RM500,000 setiap negeri ini, selain bersedia juga menghantar skuad PANTAS dan sukarelawan SERVE di dua negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Sehingga jam 8 pagi ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS iaitu seramai 37,021 di Terengganu dan 25,353 di Kelantan.

Menerusi Twitternya, Nadma memaklumkan keseluruhan mangsa banjir di tiga negeri Pantai Timur, Perak dan Johor meningkat kepada 63,415 orang.

Agensi itu juga memaklumkan sebanyak 458 PPS telah dibuka di lima negeri berkenaan dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan. – MalaysiaGazette