KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook Najib Razak membangkitkan persoalan tentang mengapa Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), baru-baru ini.
Menurut beliau, hari ini, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti hari ini kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Adakah Tun Mahathir turut letak jawatan dalam Pejuang sebab juga hilang keyakinan terhadap kepimpinan anak dia Mukhriz?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Khairuddin memberitahu, perjuangannya dalam parti itu hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr. Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara dan agama.
Beliau menganggap perkhidmatannya dalam Pejuang tidak lagi relevan setelah peletakan jawatan diterima oleh Biro Politik parti itu dan dimaklumkan pada mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) Pusat pada 15 Disember lalu.
Pada 17 Disember lalu, Mukhriz mengesahkan bahawa Pejuang telah menerima keputusan Dr. Mahathir untuk meletak jawatan, namun pada masa yang sama, masih kekal sebagai ahli parti.
Pejuang mempamerkan prestasi yang buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di mana semua calonnya termasuk Dr. Mahathir, Mukhriz dan Khairuddin tewas di kerusi-kerusi yang mereka tandingi.
Malah, sebahagian besar calonnya termasuk Dr. Mahathir yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi hilang deposit. – MalaysiaGazette