Ahmad Fahmi Fadzi

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenal pakej prabayar internet mudah alih yang sebelum ini dikenali Pakej Remaja kepada Pakej Perpaduan dengan harga lebih rendah daripada harga semasa pasaran iaitu RM5 sebulan bermula Februari 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pakej Remaja yang ditawarkan sebelum ini untuk remaja berumur 12 hingga 24 tahun dan Pakej Perpaduan bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan Internet merupakan utiliti asas yang diperlukan oleh rakyat.

Beliau berkata, langganan itu melibatkan kerjasama lima syarikat penyedia telekomunikasi iaitu Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

“Pakej Perpaduan prabayar ini yang ditawarkan pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) untuk tempoh enam bulan yang khusus untuk belia, golongan B40, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan veteran.

“Dengan hanya RM5 sebulan, golongan itu boleh menikmati kemudahan internet dan komunikasi dengan kelajuan tiga megabit sesaat (Mbps) dengan data 30GB,” katanya pada sidang medianya di kementerian di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan persediaan bantuan bencana banjir di Bilik Operasi Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan turut mengumumkan bantuan RM1 juta kepada mangsa banjir di seluruh menerusi Tabung Bencana Banjir KKD.

 

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (kanan) diiringi Ketua Sentiusaha Kementerian Komunikasi Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) hadir ketika mengadakan tinjuan bilik bantuan operasi bencana banjir di Kementerian Komunikasi Digital, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 DISEMBER 2022.

Fahmi menambah, data 30GB itu dapat menampung penggunaan perkhidmatan Chat dan Voice Call serta penggunaan aplikasi dalam talian bagi aktiviti harian seperti pembelian dalam talian, penghantaran makanan dan tempahan, urusan perbankan, carian internet dan navigasi serta berita dan maklumat.

“Secara umumnya, berbanding pakej sedia ada, ia menawarkan penjimatan RM5 sebulan, dengan tempoh sah dua kali ganda iaitu daripada 90 hari sebelum ini kepada 180 hari dengan kuota data yang hampir sama.

“Kelajuan pakej juga meningkat tiga kali ganda daripada satu Mbps kepada tiga Mbps. Ini bermaksud separuh harga, tiga kali ganda kelajuan.

“Pakej ini menawarkan potensi penjimatan 65 peratus hingga 85 peratus bersamaan RM90 ke RM150 bagi tempoh enam bulan berbanding pakej semasa dalam pasaran,” katanya.

Fahmi memberitahu, ia adalah pakej asas yang disediakan dan terpulang kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menawarkan nilai tambah atas pakej ditawarkan ini.

Katanya, beliau yakin usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi Digital dengan kerjasama strategik syarikatsyarikat penyedia perkhidmatan ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa yang sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

Justeru ujar beliau, langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan.

“Dalam minggu dan bulan akan datang, kementerian ini akan berusaha lebih gigih untuk memastikan beberapa perkara dapat diumumkan. Ada beberapa perkara sedang dibincangkan.

“Bagi pengguna ‘brodband’, dalam masa terdekat kita ada pengumuman yang baik dan bulan akan datang akan ada beberapa perkara yang saya jadikan keutamaan untuk bantu rakyat terutama ketika kita mahu ekonomi dapat dijana dengan lebih baik serta mengurang kos sara hidup,” katanya. – MalaysiaGazette