Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin bercakap pada sidang media mengenai isu pemberhentian 1,000 pekerja Nationwide Express yang tidak mendapat pampasan pekerjaan di Jabatan Perusahaan Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) meminta Akta Kerja 1955 dengan mengenakan tindakan drastik kepada syarikat yang memberhentikan pekerja tanpa memberi apa-apa faedah penamatan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Bahrin Mansor berkata, banyak syarikat yang merancang menutup perniagaannya memberhentikan pekerja mereka tanpa membayar sebarang pampasan atau sagu hati.

“Ini berlaku kepada ribuan pekerja yang diberhentikan oleh syarikat masing-masing. Mereka dibiarkan terkontang-kanting dan dianiaya tanpa sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Masalah ini bukan sahaja berlaku kepada nasib 680 pekerja Nationwide Express yang diberhentikan kerja bermula esok hingga 24 Januari ini, malah berlaku kepada pekerja Utusan Malaysia dan Perwaja Steel serta banyak lagi syarikat lain.

“Kita mahu KSM buat pindaan dengan menyenaraihitamkan pengarah syarikat terbabit daripada memegang jawatan sama di syarikat lain, kerana mereka akan melakukan perkara sama kepada pekerja di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, di sini, hari ini.

Lebih 60 pekerja Nationwide Express mewakili 680 rakan mereka yang senasib, yang ditamatkan perkhidmatan, hadir pada perjumpaan selama kira-kira 30 minit itu.

Mereka kemudian diminta merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor untuk memfailkan tuntutan itu bagi mendapatkan semula bayaran tunggakan gaji dan faedah penamatan kerja dari syarikat berkenaan.

Menurut Kamarul Bahrin, tindakan syarikat itu menamatkan perkhidmatan pekerja tanpa bayaran faedah disifatkan sebagai penganiayaan, lebih lagi semua mereka adalah golongan B40.

“Kita rasakan ini satu penganiayaan kepada pekerja dan kita minta KSM melihat perkara ini agar pekerja mendapat keadilan dan meneruskan kehidupan yang sukar ini.

“Tindakan ini perlu diambil sebagai satu titik permulaan untuk mengambil tindakan yang drastik kepada mana-mana syarikat yang membuang pekerja tanpa memikirkan apa pekerja mereka akan perolehi.

“Ini adalah pekerja B40, bekerja sebagai pemandu dan mereka sangat terkesan apabila diberhentikan tanpa dibayar saguhati atau faedah penamatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette