Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (kanan) diiringi Ketua Sentiusaha Kementerian Komunikasi Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) hadir ketika mengadakan tinjuan bilik bantuan operasi bencana banjir di Kementerian Komunikasi Digital, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi Digital (KKD) memberi jaminan perkhidmatan rangkai internet akan diaktifkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ketika ini bagi membolehkan mangsa banjir yang berlindung di sana memperoleh kemudahan internet serta telekomunikasi yang baik.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan memastikan kerja pemasangan Wifi dilaksana syarikat telekomunikasi di beberapa PPS semakin banyak dibuka.

“Saya tegaskan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar PPS ini mempunyai akses internet dan telefon yang dapat berfungsi dengan baik.

“Ini kerana saya juga dapat cadangan dan maklum balas dari rakan media yang membuat liputan (di kawasan banjir) ada beberapa tempat yang perlu ditambah baik (capaian internet).

“Banyak dari PPS yang diaktifkan ketika ini sudah sedia dengan kelengkapan peralatan Wifi dan kita akan minta SKMM berhubung dengan syarikat telekomuniasi untuk aktifkan Wifi yang ada di PPS terbabit,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan persediaan bantuan bencana banjir di Bilik Operasi Bantuan Bencana Banjir KKD dan turut mengumumkan bantuan RM1 juta kepada mangsa banjir di seluruh menerusi Tabung Bencana Banjir KKD.

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (kanan) diiringi Ketua Sentiusaha Kementerian Komunikasi Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) hadir ketika mengadakan tinjuan bilik bantuan operasi bencana banjir di Kementerian Komunikasi Digital, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 DISEMBER 2022.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga pukul 2 petang tadi, sebanyak 414 PPS sudah dibuka seluruh negara.

Sementara jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas akibat banjir pula adalah 72,092 orang, dengan Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 40,453 mangsa, diikuti Kelantan dengan 31,316 mangsa.

“Kalau perlu dibaiki, ia mesti dibaiki dengan kadar segera. Apabila kerja pembersihan dimulakan, kita juga mahu talian internet dikawasan banjir itu dapat dibaik pulih dan mereka (mangsa banjir) dapat menggunakan perkhidmatan telekomuniasi dengan segera,” katanya.

Beliau juga berkata, kementerian serta agensi dibawahnya akan menggunakan apa saja platform komunikasi yang ada untuk menyampaikan maklumat amaran banjir dikawasan berisiko tinggi.

“Saya juga meminta Ketua Setiausaha Kementerian agar semua saluran sama ada televisyen atau radio, memainkan info amaran untuk mengingatkan semua penonton yang ada dikawasan berisiko dilanda banjir untuk berpindah.

“Kita akan maksimumkan semua aset ini untuk memberi amaran (kepada rakyat di kawasan berisiko),” katanya. – MalaysiaGazette