Penduduk memindahkan barang ke tempat yang lebih selamat selepas rumah dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan di sekitar Hulu Terengganu, Terengganu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 20 DISEMBER 2022.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah pun mengeluarkan ramalan hujan lebat yang berterusan sejak pertengahan November yang lalu. Ramalan juga telah dikeluarkan berkemungkinan berlakunya banjir terutamanya di kawasan yang geografinya rendah. Sudah pasti, pihak berwajib telah bertindak proaktif dengan membuat makluman dan hebahan awalan kemungkinan berlakunya banjir. Tujuan utama hebahan dibuat adalah
untuk mewujudkan kesedaran dan kesiapsiagaan yang tinggi dikalangan masyarakat dan agensi keselamatan berkaitan dalam menghadapi gelombang banjir kali ini.

Musibah banjir bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Dalam sesi kuliah bersama pelajar saya hari ini, saya berkongsi berita yang amat memilukan buat kita seluruh rakyat Malaysia. Dalam tempoh terdekat ini sahaja terdapat banyak kes kecederaan dan kehilangan nyawa yang berlaku. Kita telah melihat dan mendengar laporan bayi yang lemas akibat terjatuh ke dalam air banjir. Terbaru, kita juga telah melihat kejadian yang menyayat hati tiga beradik yang maut akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran.

Selain itu, terdapat juga risiko berlakunya jangkitan penyakit berjangkit seperti kencing tikus, taun, cirit-birit dan demam kepialu. Justeru, rentetan peristiwa ini langkah-langkah keselamatan perlu dititikberatkan oleh semua pihak. Kelompok masyarakat yang terjejas banjir, pasukan keselamatan, badan sukarelawan dan perseorangan perlu sentiasa berwaspada.

Sebagai panduan bersama berikut adalah langkah-langkah keselamatan yang perlu diberikan perhatian serius bagi mengelakkan sebarang risiko kejadian yang sama berulang. Sebaiknya, elakkan menggunakan peralatan elektrik yang basah akibat terkena air banjir atau hujan. Selain itu, elakkan juga mendekati tiang-tiang elektrik, kabel elektrik yang terendam dalam air walaupun kabel berkenaan masih lengkap berpenebat.

Mustahak untuk memastikan semua suis utama telah ditutup bagi mengelakkan potensi berlakunya renjatan elektrik. Bagi premis yang menggunakan sistem solar PV pula perlu mematikan sistem berkenaan bagi mengelakkan bekalan mengalir semula ke dalam sistem pendawaian elektrik. Sekiranya terdapat sebarang risiko melibatkan kabel elektrik, segera bertindak dengan menghubungi pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Tahap kesedaran yang tinggi ini juga perlu diteruskan sepanjang tempoh bencana banjir sehinggalah kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir dilaksanakan. Sudah pasti, langkah berhati-hati dan aspek keselamatan yang tinggi perlu dititikberatkan apabila kembali ke rumah dan premis bangunan masing-masing. Segala peralatan elektrik, perabot dan struktur bangunan yang rosak perlu dibaiki dengan penuh cermat.

Usaha ini penting bagi mengelakkan masalah lain seperti pertumbuhan kulat, serangan serangga, pereputan dan kemerosotan kekuatan struktur timbul Jelas, bencana banjir akan mewujudkan kelembapan untuk jangka masa panjang pada struktur dan kemasan bangunan. Justeru, sebaik-baiknya kerja pembaikan hanya dilakukan selepas komponen berkenaan benar-benar kering sepenuhnya.

Sementara itu, sebarang kerosakan dan kemusnahan yang melibatkan premis kerajaan perlulah diperiksa dan dinilai secara cermat terlebih dahulu sebelum kerja pembaikan serta pemulihan bangunan dapat dilaksanakan. Bagi memastikan bangunan diduduki selamat dan kukuh, penilaian tahap keselamatan dan integriti struktur bangunan juga boleh dilaksanakan pakar berkaitan tanpa tergesa-gesa. Nasihat pakar berhubung masalah ini boleh dilakukan dengan mendapatkan khidmat juruukur bangunan berdaftar dengan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS) untuk menjalankan pemeriksaan bangunan berkenaan.

Laporan penilaian ini boleh dijadikan rujukan oleh pihak kerajaan dalam merancang kerja baik pulih pasca banjir. Bersama-samalah kita berganding bahu dalam menjaga keselamatan diri, keluarga, harta benda dan premis yang diduduki di sepanjang musim banjir ini. Ketepikan perbezaan, hulurkan tangan, ringankan beban buat mangsa banjir yang terjejas.

Dr. Irwan Mohammad Ali

 

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak.
Juruukur Bangunan Berdaftar.