PUTRAJAYA – Food Bank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sumbangan 1 tan barang makanan asas bernilai RM7,300 daripada sebuah syarikat tempatan bagi membantu mangsa banjir di lima buah negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sumbangan daripada syarikat Tamin itu merupakan peringkat pertama dan akan disalurkan secara berperingkat.

Ujar beliau, dengan adanya sumbangan berterusan maka inisiatif Food Bank akan dapat diteruskan.

“Kita akan pastikan Foodbank akan terus efektif untuk bantu golongan sasaran seperti miskin bandar seterusnya kepada mereka yang sangat terkesan dalam kehidupan pada waktu ini,” katanya ketika selepas majlis penyerahan sumbangan di Anjung Seri, KPDN.

Untuk rekod, sumbangan berkenaan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu,  Pahang, Perak dan Johor.

Dalam masa sama Salahuddin mengucapkan penghargaan di atas sumbangan dan keprihatinan daripada syarikat berkenaan kerana bekerjasama dengan kerajaan membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Terima kasih kepada syarikat Tamin dan kita akan bantu syarikat-syarikat seperti ini dan saya harap kumpulan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini dapat terus memberi sumbangan ke arah menyuburkan domestic trade kita yang mesti digerakkan dengan pantas,” jelas Salahuddin.

Sumbangan makanan asas ini akan diselaraskan oleh Sekretariat Food Bank sebelum diedarkan kepada Pejabat Negeri KPDN kemudian diagihkan kepada mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.

Rakan Strategik Program Food Bank serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat akan turut serta dalam proses agihan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). -MalaysiaGazette