Zahid Presiden UMNO
Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO perlu dikekalkan dan terus diberi kepercayaan untuk penggal yang berikutnya bagi menjayakan gandingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kebijaksanaan serta kualiti kepimpinan yang dipamerkan oleh Ahmad Zahid Hamidi itu seharusnya dihargai dan diraikan oleh ahli-ahli UMNO memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi.

“Gandingan dan semangat sepasukan ini bakal melahirkan dasar dan tatakelola yang baik serta program reformasi yang akan mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat.

“Semoga wadah Kerajaan Perpaduan ini berjaya mengangkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mencadangkan supaya jawatan Presiden UMNO dan timbalannya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Beliau juga mahu supaya usul tersebut dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 bulan depan.

Khairul Azwan menganggap UMNO bertuah kerana walaupun kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pemimpin-pemimpinnya berjaya berada dalam Kerajaan Perpaduan dengan diberi kepercayaan bagi memimpin beberapa kementerian penting.

Menurut beliau, Ahmad Zahid selaku pemimpin parti telah memainkan peranan yang besar, dengan memahami titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta memenuhi keperluan bagi mengembalikan kestabilan politik demi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama dan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri adalah sebuah testimoni kematangan politik dan keutamaan yang dicurah pada tempatnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Masa terbaik untuk calon2 presiden baharu memenangi kerusi presiden. Harapan besar akar umbi agar presiden baharu kelak dapat membawa keluar parti dari kerajaan minoriti sekarang.

Comments are closed.