Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang RM1 juta yang diterima Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk menggantikan wang pencennya yang digunakan untuk kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop, 35, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Shahrir semasa beliau disiasat oleh SPRM.

Penolong Penguasa SPRM itu bersetuju dengan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir bahawa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut memaklumkan bahawa beliau memohon secara lisan kepada Najib supaya menggantikan wang peribadinya itu dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, sembilan tahun lepas.

Nurzahidah turut bersetuju dengan Syed Faisal bahawa bekas Pengerusi Felda itu mendahulukan wangnya iaitu RM1 juta untuk membantu masyarakat di kawasan berkenaan termasuk membaik pulih Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata demikian pada perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 14 Disember lepas, Nurzahidah memberitahu mahkamah bahawa Najib menulis dan menandatangani cek AmIslamic Bank Berhad miliknya bernilai RM1 juta sebelum menyerahkan kepada Shahrir di pejabat berkenaan, pada 27 Nov 2013.

Syed Faisal turut bertanyakan kepada saksi berkenaan sama ada beliau menerima borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir daripada Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN Tuan Zulkfli Tuan Lah iaitu saksi pendakwaan ke-21 pada 13 Januari 2020.

Nurzahidah berkata: “Ada menerima borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir dan merekod keterangan daripada Encik (Tuan) Zulkfli dan beliau menyatakan bahawa penerimaan wang tersebut (RM1 juta) perlu dilaporkan kepada LHDN.”

Pegawai Penyiasat SPRM itu bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak menyerahkan sebarang dokumen sewajarnya mengenai penerimaan RM1 juta kepada Tuan Zulkfli semasa merekodkan keterangannya.

Nurzahidah juga mengakui bahawa LHDN tidak dapat menentukan sama ada wang itu merupakan pendapatan atau sebaliknya kerana beliau sendiri tidak mengemukakan dokumen kepada LHDN bagi melaksanakan sembilan langkah sewajarnya untuk menyemak status wang RM1 juta yang diterima Shahrir.

Pegawai Penyiasat SPRM itu juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau telah menunjukkan borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir kepada pegawai atasan dan mereka (pegawai) mencadangkan untuk mendakwa Shahrir atas pertuduhan itu walaupun tiada penentuan sama ada RM1 juta merupakan pendapatan atau tidak.

Menurut Nurzahidah, beliau perlu akur dengan arahan pegawai atasan walaupun beliau mencadangkan Shahrir didakwa atas lima pertuduhan lain.

Syed Faisal: Maka sebagai pegawai bawahan, Puan tidak boleh ada pendirian sendiri untuk protes, tidak ada ruang untuk meluahkan pendirian anda terhadap pendakwaan ini, betul?

Nurzahidah: Ya.

Shahrir, 73, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – Bernama