Mohd Na'im bergambar bersama penyumbang-penyumbang Musa'adah pada majlis pelepasan Bantuan Banjir Skuad Musa'adah Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Sumbangan barangan keperluan asas serta wang tunai berjumlah RM5.3 juta disalurkan oleh Skuad Musa’adah di tiga negeri di Pantai Timur yang terjejas akibat bencana banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan berkenaan akan disampaikan oleh kira-kira 100 sukarelawan skuad berkenaan yang bergerak ke lokasi bencana hari ini.

Katanya, sumbangan tersebut merupakan peruntukan daripada lima agensi iaitu Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Taqwa serta Lembaga Tabung Haji.

“Sumbangan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk segerakan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terjejas iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Selain bantuan wang tunai dan barangan keperluan, skuad ini juga akan terlibat dalam gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 14 kenderaan agensi berkenaan digerakkan ke Pantai Timur dengan membawa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, al-Quran dan kit solat untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Ujarnya, pegawai terlibat juga akan sediakan khidmat nasihat dan bimbingan kerohanian bagi memberikan suntikan kekuatan dalaman kepada mereka yang sedang diuji.,

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mendapatkan maklumat mangsa yang belum menerima sebarang bantuan agar sumbangan yang diberikan diterima oleh golongan sasar.

“Kerjasama ini perlu untuk pastikan bantuan tidak bertindih, ini yang kita nak pastikan supaya mangsa yang belum terima bantuan akan terima sumbangan skuad ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette