Gambar hiasan

JERTIH – Sebuah keluarga seramai 15 orang termasuk seorang warga emas berusia 90-an dan bayi tiga bulan melalui detik mendebarkan apabila terpaksa bergilir-gilir menaiki sampan kecil dan rakit untuk menyelamatkan diri ke tempat tinggi dalam kejadian banjir di sini, Ahad lepas.

Siti Noraslizawati Mohamad, 32,  berkata dia bersama nenek, ibu, ayah, adik-beradik dan anak saudaranya menggunakan sebuah sampan gentian kaca bersaiz kecil dan rakit diperbuat daripada paip plastik untuk ke sebuah inap desa yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

“Kami tinggal di tiga buah rumah… penduduk kampung mula berpindah pada kira-kira 4.30 petang Ahad kerana paras air sudah menyamai pinggang orang dewasa malah ia semakin meningkat dengan cepat.

“Sampan itu hanya boleh dinaiki tiga orang dalam satu masa menyebabkan adik-beradik lelaki terpaksa mendayung berulang-alik sejauh satu kilometer pergi dan balik untuk angkut kami melalui kebun getah yang sudah dipenuhi air,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Durian Telur, Hulu Besut, dekat sini hari ini.

Katanya dia sekeluarga tidak putus berdoa sepanjang berada di atas sampan kerana bimbang kejadian buruk berlaku berikutan hujan lebat dan arus deras.

“Kami terpaksa menumpang di inap desa milik seorang pesara polis kerana di situ satu-satunya tempat tinggi yang paling hampir dengan rumah kami.

“Kebetulan pemilik inap desa berada di situ ketika kejadian kerana dia juga terkandas tidak dapat pulang ke Jertih memandangkan semua jalan sudah ditenggalami air,” katanya.

Siti Noraslizawati sekeluarga berterima kasih kepada pesara tersebut yang sudi membenarkan mereka menumpang dan menyediakan keperluan makanan sebelum bekalan makanan dihantar oleh ketua kampung menggunakan perahu pada Isnin.

Menurutnya air meningkat begitu cepat dan lebih tinggi pada Isnin menyebabkan ketiga-tiga rumah keluarganya tenggelam mencecah bumbung dan semua barangan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Pagi semalam selepas banjir surut, kami pulang ke rumah tetapi buat sementara ini kami berteduh di garaj kereta yang dijadikan tempat berehat dan tidur kerana di dalam rumah masih berselut,” katanya.

— BERNAMA