Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni melakukan pemeriksaan perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di pasar raya Jaya Grocer, Cyberjaya, di sini hari ini.

CYBERJAYA – Bekalan telur ayam dan minyak di Selangor mencukupi sepanjang musim perayaan Krismas yang akan disambut pada Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, setakat ini bekalan makanan asas tersebut adalah mencukupi dan daripada tinjauan yang dilakukan hari ini, telur ayam dan minyak masak masih lagi memenuhi di rak-rak jualan.

“Tidak dinafikan terdapat beberapa tempat mengalami kekurangan bekalan, namun kita akan pastikan supaya pembekal dapat menyediakan bekalan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di pasar raya Jaya Grocer, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di pasar raya tersebut.

Jelas Mohd Zawawi, pihak pasar raya menetapkan pembelian minyak masak paket terhad tiga paket kepada seorang individu sahaja.

“Sekiranya terdapat individu yang membeli melebihi had yang ditetapkan, pengguna boleh membuat aduan kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup),” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak enam jenis barangan harga terkawal telah diwartakan harga maksimum iaitu tomto dengan harga runcit RM5 sekilogram, daging kambing biri-biri bertulang import (RM37 sekilogram), lada benggala hijau (RM14 sekilogram), kubis bulat import (RM4 sekilogram), lobak merah (RM4.50 sekilogram) dan ubi kentang import (RM4 sekilogram).

Tambah Mohd Zawawi, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal untuk individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 sementara bagi syarikat denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Mengikut statistik penguatkuasaan KPDN pencapaian SHMMP sepanjang tahun 2022, sebanyak 1,188 premis telah diperiksa membabitkan 17 pemborong dan 1,171 peruncit.

Daripada jumlah itu, terdapat dua kes yang direkodkan atas kesalahan melebihi harga maksimum (1) dan gagal menggunakan tanda harga khas (1). – MalaysiaGazette