chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna November 2022 kekal pada 4.0 peratus dengan mata indeks mencatatkan 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi kumpulan makanan meningkat 7.3 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi bulan ini.

Selain itu, restoran & hotel meningkat 7.0 peratus berbanding Oktober 2022 (6.8%).

Manakala, peningkatan lebih perlahan direkodkan bagi kumpulan pengangkutan (5.0%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.8%).

Di samping itu, kumpulan utama lain turut mencatatkan peningkatan iaitu kumpulan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (3.6%), pelbagai barangan &
perkhidmatan (2.6%) dan pendidikan (1.5%). perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus, manakala minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding November 2021.

Mohd Uzir berkata, pada November 2022, kesemua subkumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan antara 1.6 peratus hingga 8.9 peratus.

Dalam kumpulan makanan & minuman bukan alkohol, antara yang mencatatkan peningkatan tertinggi adalah subkumpulan susu, keju & telur yang meningkat 8.9 peratus, diikuti daging (8.2%) dan beras, roti & bijiran lain (7.5%).

Buah-buahan dan sayur-sayuran pula masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 3.6 peratus manakala subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 1.6 peratus kesan daripada penetapan harga siling baru minyak masak kemasan botol 2 kilogram, 3 kilogram dan 5 kilogram bagi tempoh 8 November hingga 7 Disember 2022.

”Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat 6.4 peratus berbanding peningkatan 4.8 peratus yang dicatatkan pada bulan Oktober 2022. Purata harga ayam standard di peringkat negara pada bulan November 2022 meningkat kepada RM10.36 sekilogram berbanding RM10.07 pada Oktober 2022 (November 2021: RM9.55).

”Purata harga di Semenanjung Malaysia adalah RM9.83 sekilogram, Sabah (RM12.14) dan Sarawak (RM11.88). Selain itu, harga daging babi terus mencatatkan peningkatan 28.5 peratus pada bulan ini berbanding peningkatan 26.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” kata beliau.

Subkumpulan sayur-sayuran meningkat lebih rendah 3.6 peratus berbanding Oktober 2022 (4.8%). Manakala, perbandingan bulan ke bulan mencatatkan kenaikan 1.6 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada bulan sebelumnya sebahagiannya disumbangkan oleh kekurangan bekalan dan faktor cuaca yang tidak menentu.

Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan purata harga bulan ke bulan adalah bayam dengan purata harga RM6.03 sekilogram (Oktober 2022: RM5.42), kangkung dengan purata harga RM5.72 sekilogram (Oktober 2022: RM5.19), buncis RM11.75 sekilogram (Oktober 2022: RM10.32), kailan RM9.11 sekilogram (Oktober 2022: RM8.15) dan sawi bunga RM8.76 sekilogram (Oktober 2022: RM8.24).

Bagi subkumpulan ikan & makanan laut, ikan segar mencatatkan kenaikan sebanyak 3.8 peratus (Oktober 2022: 3.4%).

Antara ikan yang merekodkan peningkatan purata harga adalah ikan keli yang meningkat kepada RM10.56 (November 2021: RM9.44), ikan pelaling RM14.25 (November 2021: RM12.36), siakap RM20.74 (November 2021: RM17.89) dan selayang RM12.11 (November 2021: RM11.31).

Kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 5.0 peratus pada November 2022 berbanding Oktober 2022 (5.2%). Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan perkhidmatan pengangkutan (7.2%).

Selain itu, pengurusan alat pengangkutan persendirian menyederhana kepada 5.1 peratus berbanding 5.6 peratus pada Oktober 2022. Purata harga Petrol tanpa
plumbum RON97 meningkat sebanyak 29.1 peratus (RM3.95 seliter) berbanding RM3.06 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak ini kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent (12.8%) kepada $AS91.07 setong pada November 2022. – MalaysiaGazette