Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita,keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia dan sentiasa siapsiaga untuk sebarang kemungkinan hujan lebat dan banjir lebih teruk terutama bagi negeri Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Ia berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 22 Disember 2022 yang menjangkakan hujan berterusan di Pahang dan Johor (22 dan 23 Disember 2022), Sarawak (23 dan 24 Disember 2022) dan Sabah (23 hingga 26 Disember 2022).

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu semakin menurun kepada 11,993 dan sebahagian besar PPS di kedua-dua negeri juga telah ditutup.

Setakat jam 3 petang tadi, sebanyak 190 PPS yang masih beroperasi di seluruh negara, melibatkan tujuh negeri iaitu Terengganu (127 buah), Kelantan (53 buah), Sarawak (empat); Johor, Selangor dan Perak (masing-masing dua) dan Pahang (satu).

Keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS adalah seramai 40,389, katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pengoperasian PPS yang ada lebih untuk memberi ruang kepada mangsa-mangsa banjir mengemas dan membersihkan rumah sebelum dibenarkan pulang.

JKM juga menyediakan perkhidmatan intervensi krisis dan sokongan psikologi (IKSP) semasa dan selepas bencana agar kefungsian psikologikal mangsa kembali semula ke tahap optimum dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian turut dilaksanakan terutamanya untuk kanak-kanak yang berada di PPS.

Orang ramai diseru supaya sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keselamatan masing-masing serta mematuhi arahan pihak berwajib terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan yang berisiko. – MalaysiaGazette