Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) yang dicadangkan oleh pihak ANIH Berhad

KUANTAN – Lebih 235,000 buah kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena musim cuti akhir tahun, termasuk perayaan Krismas.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya telah mempertingkatkan tahap kesediaan bagi menghadapi jangkaan peningkatan kenderaan itu.

“Berdasarkan trend lalulintas di lebuhraya KLK dan LPT1, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik harian di KLK akan meningkat sebanyak 165,000 kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 65% dari aliran trafik harian biasa,

“Manakala sejumlah 70,000 kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 63% pula akan menggunakan LPT1 bagi tempoh 23 hingga 27 Disember ini.

“Justeru pengguna disarankan mengikuti Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan demi keselesaan mereka”, katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Radzimah, pematuhan TTA dapat memberi impak positif dalam mengurangkan kesesakan KLK dan LPT1.

“Memandangkan musim cuti panjang ini berlaku serentak dengan musim tengkujuh yang melanda negara, pihak syarikat telah meningkatkan operasi pemantauan di semua lokasi yang berpotensi terjejas dengan banjir,” ujarnya.

Tambah beliau, selain itu pihak akan memastikan aset-aset dan para petugas kecemasan bersiapsiaga menghadapi sebarang kejadian kecemasan bagi memastikan tahap keselamatan pengguna terpelihara.

Radzimah berkata, ANIH Berhad telah menambah jumlah tenaga kerja sokongan di plaza tol serta menempatkan anggota-anggota RELA di kawasan-kawasan strategik di sepanjang lebuhraya bagi memastikan kelancaran trafik di sepanjang tempoh tersebut.

Pengguna dinasihatkan mendapatkan maklumat tepat dan terkini dengan mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di facebook dan Twitter atau talian kecemasan LPT – Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88- 7752. – MalaysiaGazette