logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 690 individu yang terlibat dengan aktiviti perjudian dan pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX bermula 19 November hingga 21 Disember lalu.

Setiausaha PDRM Datuk Noorasiah Mohd Saaduddin berkata, hasil rampasan keseluruhan meliputi nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM22,354,866.27 dan HKD$ 382,995.60, wang tunai RM518,563 dan SGD$500, komputer, tablet, telefon bimbit dan kertas catitan pertaruhan.

Turut dirampas ialah mesin kira-kira, modem, router, printer, sim kad dan jadual perlawanan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Menurut Noorasiah, Selangor merekodkan jumlah tangkapan terbanyak seramai 179 individu diikuti Kuala Lumpur (142), Johor (59), Negeri Sembilan (57), Sarawak (54), Pulau Pinang (43) dan Sabah (41).

Seterusnya hasil tangkap di Kedah seramai 32, Melaka (27), Pahang (18), Perak (17), Terengganu (11), Perlis (enam) dan Kelantan (empat).

“Kesemua tangkapan merupakan bookie atau punter telah direman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Noorasiah, dalam tempoh itu, sebanyak 530 kertas siasatan telah dibuka dengan 328 masih dalam tindakan, 202 telah berjaya dituduh dan 87 kertas siasatan telah disabitkan hukuman oleh mahkamah.

“PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan berusaha membanteras kegiatan perjudian.

“PDRM berharap masyarakat komited dalam menyalurkan maklumat berkaitan perjudian yang berlaku menerusi talian 016-5773477,” katanya. -MalaysiaGazette