Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kini boleh dilalui seperti biasa oleh semua kenderaan bagi kedua-dua arah iaitu bagi perjalanan dari Kuala Lumpur/Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pengguna disaran supaya merancang perjalanan mereka dengan baik susulan musim hujan dan beberapa kejadian banjir yang berlaku di Pantai Timur pada ketika ini.

”Berikutan insiden kegagalan cerun yang berlaku di KM393.4 baru-baru ini, LPT2 masih mengaktifkan laluan kontra bagi laluan Bukit Besi ke Ajil di KM392.4 hingga KM394.6 bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan cerun dilaksanakan untuk keselamatan semua pelanggan lebuh raya.

”Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka, berhati-hati memandu, mematuhi arahan petugas serta papan tanda trafik apabila menghampiri zon kerja dan laluan kontra terbabit,” kata Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 Sdn Bhd, Ts. Suhaimi Samat.

LPT2 juga menasihatkan semua pemandu supaya mematuhi had laju, memperlahan kenderaan, lebih berwaspada dan berhati-hati ketika memandu di dalam cuaca hujan. – MalaysiaGazette