Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi ini hari ini mendapati Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya membuktikan tuntutannya dalam saman sivil terhadap Goh Chin Liong (Goh), bekas timbalan pengarah urusan WCT Bhd (WCT) dan Leong Ah Chai (Leong), pengarah Ara Holdings Sdn Bhd (Ara Holdings).

Dalam saman yang difailkan pada tahun 2015, SC mendakwa Goh, 63, dan Leong, 62, telah melanggar seksyen 188(2) dan 188(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila Goh menyampaikan maklumat bukan awam yang material kepada Leong.

Leong kemudiannya melupuskan sejumlah 1,640,000 saham WCT dalam akaun dagangan Ara Holdings antara 2 dan 5 Januari 2009.

Pada masa material, Goh merupakan timbalan pengarah urusan WCT.

Maklumat bukan awam yang material tersebut adalah berkaitan dengan pembatalan kontrak cadangan pembinaan “Lapangan Lumba Kuda Dubai Nad Al Sheba” di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, yang telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction LLC.

Pada masa material, Leong merupakan pengarah Ara Holdings, yang merupakan salah satu daripada 30 pemegang saham terbesar dalam WCT.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim telah memerintahkan Goh dan Leong masing-masing membayar kepada SC sejumlah RM2,542,184.70, bersamaan dengan tiga kali ganda kerugian yang dielakkan oleh Ara Holdings melalui Leong akibat daripada dagangan orang dalam tersebut.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan kedua-dua defendan masing-masing membayar penalti sivil sebanyak RM300,000 dan kos RM75,000 setiap seorang kepada SC. – MalaysiaGazette