Kerja-kerja persampelan air masih dijalankan oleh Air Selangor.

KUALA LUMPUR – Air Selangor masih menjalankan ujian persampelan air secara berkala bagi mengukur bacaan pencemaran bau (ton) air sungai susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Menurutnya, pemantauan rapi dijalankan antara Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

Henti tugas kedua-dua loji rawatan air itu menyebabkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi tadi.

Artikel berkaitan: 472 kawasan alami gangguan air tidak berjadual

Dua loji rawatan air henti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi

Pencemaran bau di Sungai Semenyih berpunca daripada tumpahan cecair akibat kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di KM 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia (kawasan Negeri Sembilan).

Kejadian itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan pada jam 2 pagi dan LRA Bukit Tampoi 6 pagi tadi.

Menurutnya, jarak lokasi nahas dengan LRA Sg Semenyih sekitar 6.4 kilometer (KM) dan LRA Bukit Tampoi 18 km.

Semakan LUAS di tapak mendapati baki takungan cecair berkenaan di aliran longkang lokasi memasuki Sg Limau Manis dan Sg Semenyih.

Sebanyak 17 tan cecair pati minyak wangi di dalam 17 tangki yang dibawa di dalam kontena tersebut. – MalaysiaGazette