KUALA LUMPUR – Penghantaran bakul makanan kepada Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang yang terputus hubungan akan dibuat bermula hari ini sehingga 30 Disember 2022.

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), perbincangan mengenai penghantaran makanan dengan menggunakan helikopter telah dibincang bersama Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 13 Disember 2022.

“Keperluan penghantaran bakul makanan ini memang dalam perancangan pihak JAKOA, namun ianya tidak dapat dilaksanakan lebih awal disebabkan oleh penugasan helikopter pihak Bomba yang lebih memerlukan di kawasan yang terjejas dengan banjir di negeri Kelantan dan Terengganu yang berlaku pada beberapa hari yang lepas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Seramai 800 penduduk Orang Asli di Pos Balar terputus hubungan selepas laluan yang menjadi jalan keluar dan masuk ke perkampungan mereka tertimbus akibat tanah runtuhpada Selasa lalu.

Menurut JAKOA, penghantaran makanan melalui kenderaan darat tidak dapat dilaksanakan disebabkan keadaan jalan yang teruk dan terdapat runtuhan tanah yang berlaku di antara Pos Balar dan Pos Belatim iaitu berhampiran Kampung Dakoh.

Bagi urusan itu, JAKOA berkata, pihaknya telah berbincang dan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembaikan cerun.

Namun jelasnya, kerja-kerja di lapangan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan keadaan jalan yang teruk serta cuaca yang masih buruk yang menyukarkan jentera berat untuk masuk dan sampai ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette