Bukit Bendera antara lokasi tumpuan pelancongan di Pulau Pinang. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengesahkan kebocoran pada hos brek trek menjadi punca perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera di sini tergendala hampir tiga jam semalam.

PBBPP dalam satu kenyataan berkata, punca itu dikenal pasti pasukan penyelenggaraannya selepas perkhidmatan tersebut tergendala pada pukul 4 petang.

“Selepas mengenal pasti punca, sedikit masa diperlukan bagi mengganti bahagian itu serta menghidupkan kembali sistem terbabit.

“Perkhidmatan kereta api funikular itu kembali beroperasi semula pada pukul 6.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam perkembangan sama, PBBPP turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami semua pihak.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada perkhidmatan jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera, perkhidmatan bas dan pihak polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan berkenaan.

“PBBPP ingin tekankan bahawa perkhidmatan funikular dan keselamatan penumpang adalah keutamaan kami,” katanya.

Orang awam memuat naik kenyataan kekecewaan mengenai kereta api funikular Bukit Bendera tergendala di Facebook.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai rungutan penumpang yang mendakwa terkandas lebih tiga jam bagi menaiki kereta api funikular berkenaan.

Rata-rata orang awam meluahkan rasa kesal susulan insiden funikular tergendala didakwa kerap berlaku terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan. – MalaysiaGazette