Nelayan bersyukur LKIM peruntuk RM1 juta kepada mereka yang terjejas banjir.- Gambar hiasan.

PEKAN – Nelayan pantai tradisi zon A di daerah ini berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di atas peruntukan bantuan RM1 juta kepada mereka yang terjejas berikutan banjir baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pekan, Abd Majid Dollah, keprihatinan LKIM mengagihkan bantuan berjumlah antara RM500 sehingga RM1,000 sangat membantu mereka yang terkesan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak LKIM yang membantu mangsa banjir dalam kalangan nelayan di Pekan untuk membantu mereka kerana tidak dapat turun ke laut dalam musim tengkujuh ini,” katanya ketika ditemui di Sungai Miang hari ini.

Abd Majid Dollah

Beliau berkata, seramai 620 orang nelayan pantai tradisi Zon A di daerah itu dengan 500 daripadanya merupakan nelayan sepenuh masa.

Namun ekoran Monsun Timur Laut (MTL) bermula November lalu, hampir kesemua mereka tidak dapat turun ke laut malah perlu sentiasa berwaspada dengan bencana banjir.

“Saya dimaklumkan di Sungai Miang ada tiga ahli persatuan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini tapi difahamkan semalam di Kuala Pahang ada lagi dua yang terkesan,” kata Abd Majid.

Salah seorang daripada mereka, Yaakob Alidin, 40, turut bersyukur ekoran keprihatinan LKIM menjaga kebajikan para nelayan di seluruh negara.

Yaakob Alidin

“Ketika banjir baru-baru ini, kami tujuh sekeluarga  berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebab rumah dinaiki air. Tapi peralatan bot, jala dan jaring sudah dialihkan terlebih dahulu.

“Terima kasih LKIM di atas bantuan. Dapat menambah pendapatan sebab kami tak boleh turun ke laut sehingga bulan Mac,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah LKIM, Yusof Othman memberitahu, bantuan secara one-off di bawah Skim Bantuan Bencana Alam akan diagihkan kepada 1,250 nelayan yang terkesan bencana banjir di seluruh negara.

Menurut Yusof, pemberian bantuan terbabit diharap dapat membantu para nelayan yang terjejas itu dan akan mengusahakan sebarang bentuk bantuan lain bagi meringankan beban mereka.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast