Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan ujian saringan Covid-19 ekoran angka positif yang semakin meningkat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klinik Anda Kota Damansara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Bilangan kes positif Covid-19 menurun sebanyak 18.7 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-51 tahun ini (ME 51/2022) berbanding sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes sembuh juga bagi tempoh yang sama
menurun sebanyak 24.6 peratus iaitu daripada 10,330 kepada 7,791 kes.

“Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 18.7 peratus (7,232 kes kepada 5,880 kes) dan bilangan kes import menurun sebanyak 17.6 peratus (17 kes kepada 14 kes),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, menurut Dr. Noor Hisham, purata kes aktif setiap hari bagi ME 51 juga menurun sebanyak 13.7 peratus.

Sementara itu, turut menurun bilangan 34 peratus kes kematian.

Jumlah kemasukan kes positif ke fasiliti kesihatan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dilihat menunjukkan perkembangan positif apabila konsisten berkurang 13 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

Sebagai rekod, sebanyak 609 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,023,519 kes. – MalaysiaGazette