Adly (tengah) ketika menziarahi waris mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Kampung Machap Baru, Alor Gajah, Melaka petang tadi.

ALOR GAJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya membawa Malaysia ke arah lebih baik kerana ‘kuasanya’ kini tidak sama  seperti 20 tahun lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata,  adalah tidak tepat untuk mengukur kemampuan Presiden PKR itu untuk mentadbir negara hari ini berdasarkan pengalamannya terdahulu.

Malah cabaran politik yang dihadapi Perdana Menteri juga amat panjang dari pelbagai sudut sekaligus menjadikan beliau  tokoh terbaik menerajui Malaysia.

Justeru kritikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kemampuan Anwar memulihkan ekonomi berdasarkan sejarah lalu tidak signifikan.

“Saya rasa Tun Dr. Mahathir  mungkin melihat kepada sejarah dahulu tetapi bagi saya yang paling penting adalah berikan peluang pada Anwar kerana masa itu (dulu) beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

“Sekarang beliau adalah Perdana Menteri jadi saya cukup yakin dengan kemampuan dan pengalaman yang ada padanya memimpin negara selain cabaran sewaktu menjadi ketua pembangkang dalam tempoh yang panjang.

“Dengan cabaran politik yang beliau hadapi saya cukup yakin Perdana Menteri boleh membawa Malaysia ke hadapan di saat kita menghadapi isu-isu ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi waris mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Kampung Machap Baru di sini hari ini.

Adly mengulas kenyataan Dr Mahathir yang disiarkan media semalam mengenai kebimbangannya terhadap kemampuan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia berdasarkan pandangannya terhadap prestasi Anwar sebagai menteri kewangan lebih 20 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, pemimpin dan rakyat seharusnya memberi peluang dan ruang kepada Anwar untuk membentuk masa depan negara yang lebih baik.

“Berikan ruang dan peluang kepada Perdana Menteri melalui sokongan dan dokongan semua pihak membentuk Malaysia kepada sesuatu yang lebih baik…mencari solusi untuk selesaikan masalah- masalah yang dihadapi rakyat.

“Di semua kementerian memang isu utama kita banyak terkait dengan langkah penyelesaian isu kos sara hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.