Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Tuan Nadir Al Nuri (kanan) diiringi oleh Prof Kamaruzzaman Yusof (kiri) bergambar bersama selepas perasmian pejabat baru Persatuan Cinta Gaza Malaysia dan perasmian buku kedua Nadir Al Nuri bertajuk 'Seinci Dari Kematian, Sedekad Di Penjara Terbesar Dunia' di Plaza Paragon Point, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 26 DISEMBER 2022.

BANGI – Sebuah pusat yang bakal menempatkan gerakan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia akan dibina di tengah-tengah Gaza menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, pusat yang akan dinamakan sebagai Wisma Malaysia itu dibina di atas tanah pemberian daripada Kementerian Wakaf Palestin.

Katanya, wisma berkenaan bakal menempatkan lebih kurang 200 pejabat NGO yang ingin menghulurkan bantuan secara konsisten di Gaza.

“Kita namakan sebagai Wisma Malaysia untuk ia menjadi pusat kepada gerakan NGO-NGO yang nak melaksanakan kerja secara sistematik dari Malaysia dan rantau ini untuk memberi kepada mereka di bumi Palestin.

“Insyallah wisma ini kita telah bangunkan sebelum ini dan akan menjadi mercu tanda baru untuk Malaysia di sana,” katanya kepada pemberita pada majlis Pembukaan Pejabat Baru dan Pelancaran buku Sedekad di Penjara Terbesar Dunia 2.0: Seinci Dari Kematian.

Menurut Muhammad Nadir, sebanyak 1 juta dollar Amerika Syarikat diperlukan untuk pembinaan Wisma Malaysia tersebut.

Sehingga kini pihaknya berjaya mengumpul RM1.5 juta untuk penampung kos pembinaan wisma itu di atas tanah seluas 900 kaki persegi.

Terdiri daripada bangunan empat tingkat, Nadir menjangkakan proses pembinaan bangunan berkenaan akan mengambil masa setahun.

“Di situ akan ada sebuah tadika Malaysia, restoran, pejabat-pejabat NGO Malaysia dan begitu juga akan ada pusat advokasi, perpustakaan dan pusat budaya kita,” tambah beliau.-MalaysiaGazette