Antara kenderaan yang akan digunakan untuk menghantar bantuan semasa perasmian pengumpulan bantuan banjir dan pengagihan barang bantuan banjir di Dewan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Foto MOHD ADZLAN, 27 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tiga badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama bagi menggerakkan bantuan pasca banjir ke negeri-negeri di Pantai Timur untuk membantu mangsa yang terjejas.

Tiga NGO berkenaan adalah Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Persatuan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM).

Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebagai permulaan proses pengumpulan barang bantuan yang bermula hari ini sebelum bantuan digerakkan tidak lama lagi.

“Kita sekarang dalam keadaan Monsun Timur Laut di Pantai Timur yang terlibat banjir, oleh itu kita cuba membantu mereka. Memberikan keperluan asas termasuk bantuan membersihkan kediaman,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, beliau melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir, di Dewan Masjid Al- Mukhlisin, Alam Damai, di sini, hari ini.

Dewan berkenaan menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan daripada pelbagai pihak.

Menurut Musa, sebanyak 40 buah kenderaan pacuan empat roda dan lori akan digunakan untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.

Beliau menyeru NGO yang ingin membuat sumbangan untuk bersama-sama pihaknya bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Antara barang keperluan yang bakal disumbangkan kepada mangsa banjir adalah makanan kering, sabun, tuala wanita, susu bayi dan lampin kanak-kanak. -MalaysiaGazette