Vice-President of Parti Amanah Negara, Adly Zahari
Adly Zahari

KUALA LUMPUR – Jangan lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa lampaunya, sebaliknya perlu ke depan untuk menyaksikan kewibawaannya mentadbir negara, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Adly Zahari.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menyatakan, semua pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu memberi masa kepada Anwar untuk mengurus tadbir Malaysia menerusi Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk sebulan lalu.

“Seeloknya kita harus memberi ruang dan peluang kepadanya untuk memimpin negara. Kita yakin Anwar mampu meletakkan Malaysia pada landasan yang betul, jika tidak ada gangguan daripada mana-mana pihak yang memusuhinya.

“Apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir mengenai Anwar semalam bersandarkan kepada masa lampau, iaitu ketika Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tahun 1990-an,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahad lalu, Tun Dr. Mahathir menyatakan ketidakyakinannya terhadap Anwar dalam memimpin Malaysia berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Malah, beliau juga bimbang dengan kemampuan Anwar mencipta strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, apatah lagi fokus Perdana Menteri ke-10 itu sekarang ini tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Kata Dr. Mahathir, ia terbukti berdasarkan prestasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu, sambil berkata bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku perdana menteri pada 1997.

Menurut Adly, Anwar telah menunjukkan kemampuannya berdasarkan pengalaman beliau memimpin negara ditambah pula dengan cabaran semasa menjadi ketua pembangkang dalam tempoh yang panjang sebelum ini.

“Saya yakin Anwar mampu membawa Malaysia ke hadapan dalam tempoh yang boleh dikatakan sukar.

“Sebagai rakyat negara ini, kita perlu beri sokongan dan dokongan untuk Anwar membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette