DAP PH Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Derma sebanyak RM642 juta dari Arab Saudi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan cerita dongeng.

Sebaliknya, beberapa pihak telah mengesahkan kewujudan derma itu ketika dipanggil sebagai saksi sepanjang perbicaraan di mahkamah.

Menurut pengendali akaun Facebook Najib Razak, antara pihak terbabit ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ambank, selain bukti dalam bentuk dokumen transaksi pemindahan dana SWIFT.

Malah, katanya, penghakiman bertulis hakim Datuk Nazlan Mohd Ghazali turut mengaku terdapat pemindahan dana tersebut.

“Tetapi, dia kata ianya tidak boleh disahkan sebagai derma dari Raja Saudi Arabia sebab Raja Abdullah tak tulis namanya sebagai pembayar dan ianya tidak ditulis secara nyata dalam dokumen SWIFT bahawa ianya merupakan derma dari Raja Abdullah.

“Namun pendakwaan serta hakim tidak pernah jelaskan kenapa pula Kementerian Kewangan Arab Saudi sanggup membayar Najib begitu banyak sekiranya derma tidak wujud,” katanya menerusi hantara Facebooknya, hari ini.

Kata Najib, biarpun beliau bebas untuk menggunakan RM642 juta yang diterima dari Arab Saudi untuk apa sahaja, tetapi tidak digunakannya untuk peribadi.

Derma itu, katanya, disedekahkan termasuk membekalkan kain jubah bagi program amal yang dianjurkannya.

“Turut dimanfaatkan kepada imam, tahfiz dan lebih 7,000 masjid di seluruh negara, selain bekalan kain untuk mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014.

“Jadi, jika “penyamun” sanggup sedekahkan RM642 juta yang Najib boleh gunakan untuk apa jua kegunaan termasuk untuk peribadi, kenapa pula dia nak “curi” RM42 juta yang dia turut sedekahkan semua?

“Yang gelar Najib “penyamun” berapa ringgit pula yang mereka sedekahkan?,” soalnya.

Najib turut menyindir pihak tertentu agak tidak memetik dana yang dikenali sebagai RM2.6 bilion pula, sebab ianya turut disahkan dalam mahkamah bahawa dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar empat bulan selepas diterima.

Malah, kata Najib, beliau didakwa sembilan kali kerana menerima dana itu dan enam kali lagi sebab memulangkannya. – MalaysiaGazette