Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Persatuan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) melihat barangan keperluan semasa melancarkan perasmian pengumpulan bantuan banjir dan pengagihan barang bantuan banjir di Dewan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Foto MOHD ADZLAN, 27 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Masyarakat diingatkan supaya tidak membuat tuduhan rambang kepada polis khususnya dakwaan berkaitan rasuah.

Sebaliknya Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka sepatutnya membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti terdapat anggota polis yang terlibat dengan rasuah. 

Jelas bekas Ketua Polis Negara itu, tidak adil untuk membuat dakwaan tanpa membuat laporan kepada saluran yang betul kerana ia akan menjejaskan imej pihak berkuasa berkenaan. 

“Jika ada maklumat yang benar sila salurkan dulu kepada pihak polis. Jangan sebarkan kata polis itu ini terlibat dengan dakwaan polis lakukan rasuah, itu tidak adil.

“Jangan buat tomahan secara rambang perlu beri fakta tertentu kalau betul polis ada terlibat rasuah maklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir, di Dewan Masjid Al- Mukhlisin, Alam Damai.

Dalam masa yang sama beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan haram sepatutnya membuat laporan polis dengan segera.

“Siapa ada maklumat berkaitan kegiatan haram, salurkan dulu kepada pegawai berkenaan untuk tindakan diambil jangan kita hanya beri maklumat lepas tu kita buat andaian bahawa polis tidak ambil tindakan, makan rasuah ini boleh merosakkan kredibiliti pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan program televisyen yang sering mendedahkan jenayah judi online meningkat baru-baru ini.

Program televisyen berkenaan mendakwa kegiatan haram itu meningkat  akibat kegagalan polis menjalankan tugas.-MalaysiaGazette