Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) serta ketua-ketua parti lain bergambar selepas Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI, 16 DISEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin perjanjian persefahaman kerjasama antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan baru-baru ini mampu bertahan untuk tempoh jangka panjang.

Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pihaknya bersetuju dengan perjanjian itu ketika perundingan kerana ia memiliki elemen mempertahan agama Islam, hak keistimewaan Orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata ketika rundingan dilakukan dengan Pakatan Harapan (PH), elemen itu menjadi tajuk utama BN yang ingin memastikan bahawa perkara berkenaan tidak boleh dipertikai malah harus dipatuhi.

“Apabila perjanjian itu ditandatangani oleh pelbagai pihak, perkara itu juga tidak pernah dikompromi malah dijadikan sebagai antara asas pertama kepada perjanjian itu bukan sahaja untuk waktu ini tetapi untuk jangka panjang,” katanya dalam program wawancara khas ‘Jawab, Saya Tanya!’ bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV malam ini.

Pada 16 Dis lepas, lima gabungan politik utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr dengan disaksikan oleh semua pengerusi gabungan terbabit. – BERNAMA